KUALA LUMPUR: Syarikat kejuruteraan awam Bumiputera, Pintas Utama telah menunaikan zakat perniagaan kepada Lembaga Zakat Selangor berjumlah RM3 juta.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mencemar duli mewakili Lembaga Zakat Selangor menerima serahan zakat perniagaan daripada Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Zainudin Karjan ketika berangkat merasmikan Masjid Kota Kemuning pada Khamis.

Menurut Zainudin, pihaknya menzahirkan rasa syukur dengan keadaan ekonomi semasa negara yang stabil, memberikan peluang kepada syarikat korporat di bawah kelolaannya untuk terus melaksanakan tanggungjawab rukun Islam yang keempat itu.

"Kestabilan ini membolehkan masyarakat menyumbang kembali kepada golongan yang memerlukan serta memperkukuh institusi umat Islam di negara ini.

"Usaha murni Pintas Utama dilaksanakan dengan program-program kebajikan di bawah entiti Yayasan Pintas Utama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zainudin menambah, pada Ramadan ini, syarikat itu turut meraikan dan menyantuni 18 buah rumah anak-anak asnaf terpilih di seluruh Semenanjung.

BACA: Sultan Selangor berkenan lancar Tabung Pembangunan Ehsan Selangor-Gaza

Semalam, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat merasmikan Masjid Kota Kemuning, dengan diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Sultan Selangor turut berkenan berbuka puasa bersama rakyat dan menyampaikan sumbangan hari raya kepada 476 penerima terdiri daripada golongan asnaf, fakir miskin dan mualaf bagi daerah Klang dengan jumlah keseluruhan RM238,000.

Dalam masa sama, baginda juga berkenan melafazkan titah perasmian Masjid Kota Kemuning sebelum menandatangani plak perasmian bagi menyempurnakan acara itu.